5 Sebab Kenapa Bermain Sangat Penting bagi Kanak-kanak


Bermain adalah aktiviti sukarela yang memberi keseronokan kepada kanak-kanak.

Kebanyakkan kanak-kanak menggunakan objek atau barang mainan sebagai alat untuk bermain.

Sepertimana aktiviti orang dewasa adalah penting bagi orang dewasa, begitulah juga pentingnya aktiviti bermain bagi kanak-kanak.

Ini kerana, bermain adalah cara semulajadi untuk kanak-kanak belajar tentang diri  mereka dan juga dunia di sekeliling mereka.

Aktiviti bermain merupakan satu keperluan asas kepada kanak-kanak kerana ia membantu perkembangan mereka secara menyeluruh.

Berikut adalah 5 sebab kenapa bermain sangat penting bagi kanak-kanak:

1. Bermain membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran yang penting

Bermain adalah cara terbaik untuk membantu kanak-kanak belajar kemahiran asas dalam kehidupan.

Ini kerana, kanak-kanak boleh meneroka, mencuba dan mempelajari kemahiran dengan cara yang menyeronokkan apabila mereka bermain.

Ini menjadikan proses pembelajaran melalui aktiviti bermain lebih santai.

Hasilnya, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran dengan lebih baik, dan dengan usaha yang kurang.

Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak dapat mempelajari pelbagai jenis kemahiran seperti kemahiran motor (pergerakan), kognitif (mental), deria, interaksi sosial, dan kawal selia kendiri (emosi).

Kemahiran-kemahiran asas ini adalah penting dan diperlukan untuk pembelajaran, pekerjaan, dan perhubungan sosial di masa hadapan.

2. Bermain membantu kanak-kanak membina keyakinan diri

Ciri paling penting dalam aktiviti bermain adalah, ianya dipengaruhi oleh motivasi dalaman dari diri kanak-kanak itu sendiri.

Semasa aktiviti bermain, kanak-kanak biasanya mula dengan meneroka dan mempelajari asas bagaimana permainan itu berfungsi.

Apabila kanak-kanak sudah faham tentang asas-asas dalam sesuatu permainan, mereka seterusnya akan mempunyai keinginan untuk menguasai permainan itu.

Ini akan mendorong mereka untuk mencuba sehingga mereka berjaya mencapai matlamat mereka.

Kegembiraan yang kanak-kanak alami daripada kejayaan dalam menguasai sesuatu permainan menghasilkan rasa ‘berjaya’ dan meningkatkan keyakinan dalam diri mereka. 

Peningkatan dalam keyakinan diri kanak-kanak akan membantu meningkatkan nilai diri dan kesanggupan mereka untuk mencuba perkara yang baharu.

3. Bermain membantu kanak-kanak memahami peraturan dan peranan

Aktiviti bermain jenis berstruktur, seperti permainan dengan peraturan, mengajar kanak-kanak tentang peraturan.

Ia termasuk peraturan seperti cara untuk memulakan, cara penggiliran, cara untuk mengekalkan  dan menamatkan interaksi sosial semasa bermain.

Selain daripada peraturan, aktiviti bermain juga memudahkan kanak-kanak untuk memahami pelbagai jenis peranan dengan lebih baik.

Sebagai contoh, kanak-kanak menggunakan aktiviti main peranan untuk mempelajari peranan orang dewasa, seperti berpura-pura menjadi doktor atau seorang ibu.

Semasa aktiviti bermain peranan, kanak-kanak mengamalkan peranan sebagai orang dewasa dan belajar menjadi ahli masyarakat yang produktif.

4. Bermain membantu mengembangkan minat kanak-kanak di
masa hadapan

Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak mempelajari kemahiran dan mengembangkan minat yang boleh mempengaruhi pilihan dalam jenis pekerjaan dan aktiviti riadah di masa hadapan.

Sebagai contoh, dengan mengambil peranan sebagai doktor semasa aktiviti bermain, kanak-kanak boleh mengembangkan minat untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti.

Perkara yang sama boleh diaplikasikan untuk mengembangkan minat kanak-kanak terhadap pilihan aktiviti riadah di masa akan datang.

Dengan mula bermain bola sepak dari usia yang muda, kanak-kanak boleh mengembangkan minat terhadap bola sepak sebagai aktiviti riadah pilihan di masa hadapan.

Malahan, kanak-kanak juga boleh mengembangkan minat untuk menjadi pemain bola sepak professional di masa akan datang.

5. Bermain membantu menguatkan kesihatan mental kanak-kanak

Apabila kanak-kanak bermain, mereka mengalami emosi positif seperti kegembiraan, keseronokan dan kebebasan.

Emosi-emosi positif ini adalah penting dalam membina kesihatan mental yang kuat dan sihat.

Ibubapa dan penjaga juga digalakkan untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak melalui aktiviti bermain.

Ini kerana, perkongsian detik-detik yang menggembirakan dan menyeronokkan semasa bermain boleh merapatkan lagi hubungan antara ibubapa dan anak mereka.

Tetapi yang paling penting, meluangkan masa berkualiti bersama anak melalui aktiviti bermain adalah cara terbaik untuk ibubapa atau penjaga menunjukkan kasih sayang dan perhatian mereka kepada anak.

Ini boleh membantu untuk membina asas kesejahteraan mental dan psikologi yang positif di dalam diri kanak-kanak.

Apabila kanak-kanak semakin membesar maka jenis aktiviti bermain juga akan berubah mengikut umur mereka. Perubahan ini akan turut mempengaruhi jenis mainan yang mereka gunakan semasa bermain.

Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai panduan memilih mainan yang sesuai mengikut umur kanak-kanak

Walaupun semua barang mainan memberi manfaat terhadap perkembangan kanak-kanak, terdapat sesetengah mainan yang memberi lebih banyak manfaat dan kesan berbanding yang lain. Terutamanya apabila diperkenalkan pada usia yang lebih awal.

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai mainan terbaik yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak di sini.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights