5 Sebab Kenapa Gajet Tidak Baik untuk Kanak-Kanak


"5 Sebab Kenapa Gajet Tidak Baik untuk Kanak-Kanak" oleh othandbook.com

Dengan kecanggihan teknologi zaman sekarang, kebanyakan orang tahu cara menggunakan komputer dan mempunyai pelbagai gajet, untuk membantu mereka dalam kehidupan seharian mereka.

Kebanyakan ibubapa zaman kini turut menggunakan gajet sebagai alat untuk mengalih perhatian anak agar mereka boleh melaksanakan tugasan mereka tanpa diganggu.

Walaubagaimanapun, ibubapa harus sedar pendedahan gajet kepada kanak-kanak di usia kecil boleh mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Berikut adalah 5 sebab kenapa gajet tidak baik untuk kanak-kanak:

1. Risiko Masalah Perkembangan

Perkembangan seseorang kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling semasa mereka membesar.

Kanak-kanak memerlukan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan perkembangan otak yang baik.

Ini termasuk memberikan kanak-kanak peluang untuk meneroka dan berinteraksi dengan persekitaran sekeliling mereka.

Semasa meneroka dan berinteraksi dengan persekitaran sekeliling, kanak-kanak dapat memproses pelbagai input deria yang sangat penting untuk perkembangan otak yang optimum.

Penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak menyebabkan mereka lebih statik dan kurang meneroka persekitaran sekeliling.

Ini mengakibatkan mereka tidak mendapat input deria yang mencukupi untuk perkembangan otak yang optimum.

Perkembangan otak yang lemah akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan seseorang kanak-kanak dan mengehadkan keupayaan mereka untuk berfungsi secara normal.

Antara masalah-masalah yang boleh terjadi disebabkan oleh perkembangan otak yang lemah adalah:

  • Masalah kemahiran sosial (cth: mengalami kesukaran untuk bergaul dan berinteraksi dengan orang lain)
  • Masalah memproses sensori (cth: mengalami sensitiviti yang melampau terhadap rasa atau tekstur)
  • Masalah kognitif (cth: mengalami kesukaran untuk menyelesaikan masalah dalam situasi kehidupan sebenar)

2. Risiko Ketagihan Gajet

Beberapa kajian terkini menunjukkan persamaan antara kesan dadah kokain dan kesan masa skrin (screen time) terhadap otak manusia. 

Pengkaji mendapati bahawa masa skrin semasa menggunakan gajet boleh mencetuskan kitaran keseronokan yang berbahaya dan menjejaskan kawalan impuls otak, sama seperti kesan dadah.

Lebih teruk lagi, masalah ketagihan gajet seterusnya boleh menjurus kepada masalah lain seperti risiko obesiti dan masalah tidur di kalangan kanak-kanak.

Ini terjadi apabila kanak-kanak menjadi terlalu obses dan khusyuk terhadap gajet sehingga tidak mahu keluar dari rumah dan tidak tidur pada waktu malam.

3. Risiko Masalah Kesihatan Mental

Pendedahan gajet kepada kanak-kanak di usia kecil menyebabkan kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa duduk di dalam rumah dan kurang berminat dengan aktiviti luar.

Ibubapa perlu faham bahawa kanak-kanak perlu meneroka persekitaran sekeliling mereka bagi menggalakkan perkembangan otak yang baik.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti luar yang bersifat fizikal bagi membina kesihatan mental yang baik.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa duduk di rumah mempunyai tahap hormon dopamin yang lebih rendah.

Tahap hormon dopamin yang rendah menyebabkan seseorang berasa letih, tidak bermotivasi dan kurang mood.

Lebih membimbangkan lagi, tahap dopamin yang rendah juga sering dikaitkan dengan masalah kemurungan.

Menurut pakar, cara terbaik untuk meningkatkan dopamin secara semula jadi adalah dengan mendapat pendedahan cahaya matahari yang cukup, melakukan aktiviti fizikal dan mendapat tidur yang cukup.

Oleh itu adalah sangat penting bagi kanak-kanak untuk melibatkan diri dengan aktiviti fizikal di luar rumah dan mendapat tidur yang mencukupi bagi membina kesihatan mental yang baik.

4. Risiko Masalah Tingkah Laku

Kanak-kanak belajar dari apa yang mereka lihat dan rasa daripada persekitaran mereka.

Oleh sebab itu,mereka sangat cenderung untuk meniru dan mengikuti apa yang mereka lihat tanpa mengira sama ada ianya baik atau buruk.

Pendedahan gajet di usia kecil menyebabkan kanak-kanak berisiko terdedah kepada kandungan internet yang tidak ditapis seperti unsur keganasan dan seksual yang tidak sesuai untuk mereka.

Ini boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan karakter dan tingkah laku seseorang kanak-kanak.

Menurut beberapa kajian, kanak-kanak yang terdedah kepada media yang mempunyai unsur keganasan menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif semasa bermain dan berinteraksi berbanding kanak-kanak yang tidak terdedah kepada media berunsurkan keganasan.

Oleh itu, ibubapa tidak digalakkan untuk memberikan gajet kepada anak di usia kecil bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kandungan internet yang tidak ditapis dan tidak sesuai untuk umur mereka.

5. Risiko Masalah Mata

Pendedahan gajet kepada kanak-kanak pada usia kecil juga boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mata mereka.

Ini kerana melihat skrin digital pada tempoh yang lama membuatkan otot mata terpaksa bekerja keras dan seterusnya membawa kepada risiko masalah mata.

Antara risiko masalah mata yang boleh terjadi termasuk masalah keletihan mata, kering mata dan myopia.

Berbanding masalah keletihan mata dan kering mata yang bersifat sementara, masalah rabun jauh adalah lebih serius dan bersifat kekal.

Pada Umur Berapakah Kanak-Kanak Boleh Didedahkan dengan Gajet?

Menurut pakar, ibubapa harus mengelakkan daripada memberi pendedahan gajet kepada anak kecil yang berumur di bawah 3 tahun. Ini bermakna ibu bapa hanya boleh memperkenalkan gajet kepada anak-anak yang berumur 3 tahun dan ke atas.

Ini adalah sangat penting bagi memastikan otak anak dapat berkembang sepenuhnya terlebih dahulu.

Dan jika ibubapa memutuskan untuk memberi pendedahan gajet kepada anak yang berumur 3 tahun dan ke atas, mereka hendaklah memantau dan mengehadkan masa skrin (screen time).

Berapakah Had Masa Skrin untuk Anak Berusia 3 tahun dan Ke Atas?

Untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur 3 – 5 tahun, ibubapa perlu mengehadkan masa skrin kepada 1 jam sehari.

Untuk kanak-kanak yang berumur 6 tahun dan ke atas pula, ibubapa harus mengehadkan masa skrin kepada 2 jam sehari untuk penggunaan gajet yang berbentuk hiburan dan tidak berkaitan dengan kerja sekolah.

Kesimpulan

Kesan negatif gajet terhadap kanak-kanak mungkin boleh dikurangkan dengan penggunaan gajet yang terkawal dan dipantau oleh ibubapa.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa pendedahan gajet kepada kanak-kanak di usia kecil memberi lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Oleh itu, ibubapa harus peka terhadap risiko masalah yang diakibatkan oleh pendedahan gajet terhadap kanak-kanak di usia kecil.

Ini kerana, kebanyakan risiko masalah tersebut adalah bersifat jangka panjang.

Bak kata pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubati.”

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights