Aktiviti untuk membina kemahiran anak mengelap punggung sendiri


Kemahiran mengelap bahagian bawah/punggung selepas menggunakan tandas adalah kemahiran yang penting untuk diajar kepada anak agar mereka boleh berdikari dalam  aspek penggunaan tandas.

Jika anak anda mempunyai masalah untuk mengelap bahagian bawah/punggung sendiri, anda perlu mengenal pasti punca masalah tersebut.

Adakah anak tidak boleh mengoyakkan tisu tandas yang mencukupi? Adakah anak tidak boleh mencapai bahagian bawah mereka? Adakah anak tidak boleh mengelap bahagian bawah mereka dengan bersih?

Selepas anda mengenal pasti kemahiran asas yang bermasalah, anda boleh mula melatih anak anda dengan memberi tumpuan khusus terhadap kemahiran yang bermasalah itu.

Anda boleh menggunakan aktiviti-aktiviti menarik untuk membina kemahiran anak anda dalam mengelap bahagian bawah/punggung.

Berikut adalah aktiviti-aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama-sama anak anda bagi membina kemahiran mereka untuk mengelap bahagian bawah:

1. Aktiviti mengoyakkan kertas

Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kekuatan jari dan membina kemahiran untuk mengoyakkan kertas.

Contoh aktiviti:

(i) Kolaj Kertas berwarna

Apa yang anda perlukan:
Kertas berwarna (nipis), gam, bekas, pensel warna, kertas putih bersaiz A4

Kolaj kertas berwarna adalah aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama-sama dengan anak anda.

Dalam aktiviti ini, anda akan berkerjasama dengan anak untuk membuat kolaj.

Anda boleh memilih untuk membuat kolaj dari bentuk yang mudah seperti bentuk segitiga ataupun bentuk yang lebih menarik seperti bentuk bintang atau pokok.

Cara untuk melakukannya:

  1. Lakar bentuk di atas kertas putih bersaiz A4 menggunkan pensel warna.
  2. Tunjukkan kepada anak cara untuk mengoyakkan kertas. Selepas itu, berikan mereka tugas untuk mengoyakkan kertas kepada saiz yang kecil. Kumpul kepingan-kepingan kertas kecil ke dalam bekas.
  3. Letak gam pada permukaan kertas putih bersaiz A4.
  4. Lekatkan kepingan-kepingan kertas kecil di atas kertas putih bagi membentuk kolaj berdasarkan lakaran yang telah dibuat.

2. Aktiviti mencapai sekeliling badan

Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran anak untuk mencapai bahagian belakang badan termasuklah bahagian bawah/punggung.

Contoh aktiviti:

(i) Bermain stiker pelekat

Apa yang anda perlukan:
Stiker pelekat

Bermain stiker pelekat boleh membantu anak untuk belajar mencapai ke bawah dan mengimbangi badan seperti yang diperlukan semasa akitiviti mengelap bahagian bawah/punggung.

Cara untuk melakukannya:

  1. Lekatkan stiker pada badan anak anda (dengan pakaian sekali)
  2. Beritahu anak untuk mencapai stiker dan menariknya daripada badan mereka.
  3. Lekatkan stiker pada bahagian badan yang lebih sukar untuk dicapai seperti poket belakang, belakang peha dan di bawah kaki mereka.
  4. Beritahu mereka untuk mencapai dan menarik stiker daripada badan mereka.

(ii) Bermain sorok-sorok selendang

Apa yang anda perlukan:
Selendang nipis atau tuala kecil

Bermain sorok-sorok selendang adalah satu permainan yang sangat mudah dan menarik untuk membantu anak belajar mencapai ke bawah dan mengimbangi badan seperti yang diperlukan semasa akitiviti mengelap bahagian bawah/punggung.

Cara untuk melakukannya:

  1. Sorokkan selendang nipis atau tuala kecil di dalam poket belakang atau seluar anak anda.
  2. Beritahu anak untuk menarik selendang atau tuala kecil keluar dari poket belakang atau seluar mereka.
  3. Buat aktiviti ini menjadi menarik dan ulang.

3. Aktiviti mengelap

Aktiviti ini bertujuan untuk membina keyakinan dan kemahiran anak agar boleh mengelap bahagian bawah/punggung dalam situasi yang sebenar.

Terdapat 3 peringkat kesukaran untuk aktiviti ini, bermula dari mudah ke susah.

Diingatkan untuk beralih ke tahap yang lebih susah hanya apabila anak telah berjaya melakukan tahap semasa.

Contoh aktiviti:

Tahap 1: Mengelap pinggan (mudah)

Apa yang anda perlukan:
Pinggan plastik, mentega kacang atau coklat, kertas tisu

Cara untuk melakukannya:

  1. Letak mentega kacang atau coklat di atas permukaan pinggan.
  2. Beritahu anak untuk mengelap mentega kacang atau coklat daripada permukaan pinggan sehingga bersih menggunakan kertas tisu.
  3. Ulang untuk latihan mengelap.

Tahap 2: Mengelap belon (sederhana)

Apa yang anda perlukan:
Belon separuh kembang, mentega kacang atau coklat, kertas tisu

Cara untuk melakukannya:

  1. Letak mentega kacang atau coklat di atas permukaan belon.
  2. Beritahu anak untuk mengelap mentega kacang atau coklat daripada permukaan belon sehingga bersih menggunakan kertas tisu.
  3. Ulang untuk latihan mengelap.

Tahap 3: Mengelap badan (susah)

Apa yang anda perlukan:
Mentega kacang atau coklat, kertas tisu

Cara untuk melakukannya:

  1. Letak mentega kacang atau coklat pada permukaan tangan/kaki anak.
  2. Beritahu anak untuk mengelap mentega kacang atau coklat daripada permukaan badan mereka sehingga bersih menggunakan kertas tisu.
  3. Ulang untuk latihan mengelap.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights