Apa itu Perpustakaan Permainan & Mengapa ianya Berbaloi


Perpustakaan permainan adalah tempat menyimpan koleksi mainan dan alatan permainan berkualiti tinggi yang boleh dipinjam oleh ibubapa atau penjaga.

Dengan kata lain, perpustakaan permainan ini berfungsi sama seperti perpustakaan biasa. Namun berbanding dari meminjamkan buku, perpustakaan permainan meminjamkan alatan permainan.

Sejarah kewujudan perpustakaan mainan ini bermula sekitar tahun 1935, di mana perpustakaan permainan yang pertama telah diasaskan di Los Angeles.

Dengan pelaksanaan Head Start dan undang-undang lain, perpustakaan permainan menjadi semakin popular di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1960 dan 1970-an.

Perpustakaan permainan juga merupakan sesuatu yang umum di kalangan negara-negara yang berbahasa Perancis dan dikenali sebagai ludothèques.

Kini, perpustakaan permainan wujud di hampir semua negara di seluruh dunia.

Selain daripada meminjamkan alatan permainan kepada ibubapa atau penjaga, ia juga menawarkan sesi bermain bersama keluarga.

Terdapat juga perpustakaan permainan yang menyediakan buku dan bahan rujukan khusus untuk ibubapa dan penjaga.

Perpustakaan permainan sesuai untuk kanak-kanak umur berapa?

Kebanyakan perpustakaan permainanan menawarkan alatan permainan yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 0 sehingga 12 tahun.

Adakah ianya percuma?

Perpustakaan permainan biasanya adalah percuma atau hanya memerlukan kos yang minimum sahaja, seperti yuran keahlian atau yuran tahunan yang kecil. 

Berapa lama tempoh meminjam alatan permainan yang dibenarkan untuk ibubapa dan penjaga?

Perpustakaan permainan biasanya membenarkan ibubapa atau penjaga untuk meminjam alatan permainan dalam tempoh 2-3 minggu

Walaubagaimanapun, sesetengah perpustakaan permainan membenarkan ibubapa atau penjaga untuk meminjam alatan permainan sehingga 4 minggu.

Apakah manfaat perpustakaan mainan?

Perpustakaan mainan dapat memberikan pelbagai manfaat kepada ibubapa, penjaga dan kanak-kanak.

Antara manfaat-manfaat perpustakaan permainan adalah:

1. Menyediakan alatan permainan berkualiti tinggi untuk perkembangan kanak-kanak

Perpustakaan permainan membantu keluarga untuk mendapat akses kepada alatan permainan berkualiti tinggi yang sesuai dan penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Ia juga menyediakan pelbagai jenis alatan permainan untuk kanak-kanak dari semua lapisan umur. 

Alatan permainan ini biasanya adalah berkualiti tinggi dan sukar untuk diakses atau terlalu mahal untuk dibeli oleh ibubapa atau penjaga.

2. Kos yang minimum

Kos meminjam daripada perpustakaan permainan adalah tidak mahal dan hanya memerlukan kos yang minimum sahaja iaitu dalam bentuk yuran keahlian atau yuran tahunan.

Ini bermakna ibubapa atau penjaga tidak perlu membeli alatan permainan yang baru setiap kali anak mahukannya.

3. Menyediakan pelbagai jenis mainan untuk dinikmati oleh kanak-kanak

Perpustakaan permainan mempunyai koleksi alatan permainan banyak yang boleh dipilih oleh ibubapa dan penjaga.

Dengan kepelbagaian ini, ibubapa dan penjaga boleh datang dan meminjam alatan permainan untuk anak mereka setiap 2-3 minggu.

Ini dapat mengelakkan anak mereka daripada merasa bosan dengan permainan yang sama, tanpa perlu membeli permainan yang baru setiap kali.

4. Menggalakkan kebersamaan keluarga

Perpustakaan permainan juga dapat menggalakkan kebersamaan antara ibubapa dan anak mereka.

Dengan menyediakan sesi bermain bersama keluarga, ia dapat mengalakkan ibubapa untuk meluangkan masa berkualiti dengan bermain bersama-sama dengan anak mereka.

5. Menggalakkan komuniti yang menyokong antara satu sama lain

Perpustakaan permainan dapat memberi peluang kepada ibubapa dan penjaga untuk bertemu, berhubung dan berkongsi maklumat, di samping membina persahabatan baru.

6. Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bermain

Dengan menyediakan buku dan bahan rujukan, perpustakaan permainan dapat membantu ibubapa dan penjaga mengetahui tentang peringkat perkembangan kanak-kanak dan kepentingan bermain untuk perkembangan mereka.

Adakah Perpustakaan Permainan berbaloi?

Sudah tentu YA! Dengan kepelbagaian manfaat yang boleh diperolehi dari perpustakaan permainan, ia sememangnya adalah berbaloi.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights