Bagaimana untuk ajar anak ke tandas dan berhenti memakai diapers?


Bila anak anda semakin membesar, sebagai ibubapa anda pasti ingin mereka untuk berhenti memakai diapers dan mula belajar untuk ke tandas.

Latihan ke tandas (toilet training) adalah proses untuk mengajar anak anda cara untuk menggunakan tandas.

Latihan ini adalah untuk membentuk kemahiran penggunaan tandas (toileting skills) agar mereka boleh berdikari di masa akan datang.

Berak/kencing di dalam diapers boleh menjadi tabiat kepada kanak-kanak yang sudah biasa melakukannya dalam jangka masa yang panjang.

Hal ini terjadi kerana mereka sudah biasa melakukan perkara tersebut secara berulang-ulang, dan akhirnya menjadi satu tabiat kepada mereka.

Langkah pertama dalam latihan ke tandas ialah untuk menghentikan tabiat ini.

Untuk menghentikan sesuatu tabiat, anda perlu menggantikannya dengan tabiat yang baru.

Jadi, bagaimanakah untuk anda menghentikan tabiat anak anda (kencing/berak dalam diapers) dan mengajar mereka untuk menggunakan tandas?

Membentuk tabiat baru anak untuk menggunakan tandas boleh diajar melalui latihan berulang-ulang dan konsisten.

Anda perlu mengajar anak anda bila tiba masa untuk mereka perlu berak/kencing, mereka perlu ke tandas dan tidak boleh membuangnya di dalam diapers.

Walaubagaimanapun, anda harus ingat menghentikan tabiat lama adalah tidak mudah.

Oleh itu, langkah-langkah yang teratur dan pengulangan yang konsisten adalah penting untuk membentuk tabiat baru yang kukuh.

Berikut adalah langkah-langkah penting yang perlu anda lakukan untuk membentuk tabiat baru (menggunakan tandas) untuk anak anda:

1. Bawa anak anda ke tandas pada masa yang tetap

Mula dengan membawa anak anda ke tandas secara berkala, setiap 2 jam atau setiap 1 jam jika mereka minum banyak air atau kerap kencing.

2. Bagi anak duduk  di atas mangkuk tandas

Galakkan anak anda untuk duduk di atas mangkuk tandas  lebih kurang dalam 5 minit dan tunggu mereka untuk kencing.

Jangan paksa mereka untuk  duduk lebih lama kerana ianya  boleh membuatkan mereka menjadi tidak selesa dan menimbulkan perasaan negatif.

Ini  boleh menyebabkan anak tidak mahu untuk ke tandas  pada masa akan datang.

3. Pastikan anak  memakai seluar, bukan diapers

Adalah disyorkan untuk anda memakaikan anak seluar atau seluar dalam semasa proses melatih anak ke tandas.

Ini kerana, seluar atau seluar dalam yang basah akan membuatkan mereka merasa tidak selesa.

Dan ini akan membuatkan anak anda cuba untuk tidak membasahkan seluar mereka dan menunggu sehingga mereka sampai ke tandas terlebih dahulu.

4. Ulang semula langkah-langkah di atas

Seperti yang telah disebut sebelum ini, membentuk tabiat yang baru memerlukan latihan berulang-ulang dan konsisten.

Oleh itu, anda perlu mengulangi semua langkah-langkah di atas secara konsisten sehinggalah anak anda dapat memberitahu bila mereka perlu pergi ke tandas.

Bagaimana jika anak anda masih kencing dalam seluar walaupun anda telah mengikuti semua langkah-langkah di atas?

Pertama sekali, anda perlu ingat bahawa setiap kana-kanak adalah unik dan masing-masing mengambil  masa berbeza-beza untuk dilatih ke tandas.

Sesetengah kanak-kanak hanya mengambil masa selama beberapa hari untuk dilatih ke tandas, manakala yang lain mungkin mengambil masa beberapa minggu atau beberapa bulan.

Perlu diingatkan juga bahawa, adalah normal untuk anda mengalami inisiden terkencing dalam seluar semasa proses latihan ke tandas.

Walaubagaimanapun, jika anak anda asyik terkencing dalam seluar  sepanjang masa maka anda perlu ambil tahu mengapa perkara ini terjadi.

Adakah ianya disebabkan oleh masalah kawalan pundi kencing? Atau adakah ini disebabkan oleh masalah tingkah laku?

Untuk mengetahui punca masalah, anda perlu berkomunikasi dan bertanya dengan anak anda mengapa mereka sentiasa terkencing di dalam seluar.

Elakkan daripada memarahi atau menghukum anak anda kerana ini boleh menyebabkan mereka membentuk sikap yang negatif.

Sesetengah kanak-kanak mungkin mempunyai masalah dalam mengawal pundi kencing mereka. Untuk lebih pasti, anda disyorkan untuk berjumpa dengan pakar pediatrik.

Sekiranya masalah berpunca daripada tingkah laku, maka anda perlu mengubah tingkah laku bermasalah tersebut menggunakan teknik ‘positive reinforcement’.

Teknik ‘positive reinforcement’ boleh membantu anak agar lebih bermotivasi untuk belajar mengadaptasi tingkah laku positif yang baru.

Reward chart’ atau carta  ganjaran adalah salah satu teknik ‘positive reinforcement’ yang sering digunakan semasa proses latihan ke tandas. 

Dengan meggunakan carta ganjaran, anda dapat membantu meningkatkan motivasi anak anda semasa latihan ke tandas kerana mereka dapat melihat progress kemajuan/kejayaan  mereka dalam bentuk visual.

Selain daripada itu, penggunaan carta ganjaran ini juga dapat membantu untuk membina keyakinan diri anak anda dan mendorong mereka agar lebih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam latihan ke tandas.

Untuk belajar cara menggunakan carta ganjaran semasa melatih anak ke tandas, anda boleh membaca artikel ini di mana saya menjelaskan tentang cara untuk menggunakannya dengan berkesan.

Kesimpulan

Menghentikan tabiat lama dan menggantikannya dengan tabiat yang baru memerlukan masa dan usaha.

Walaubagaimanapun, dengan usaha dan latihan yang konsisten, anak anda pasti boleh berhenti daripada memakai pampers dan membiasakan diri untuk menggunakan tandas.

Membiasakan anak untuk pergi ke tandas merupakan langkah pertama dalam latihan ke tandas. Ia hanyalah untuk menghentikan anak anda daripada berak/kencing di dalam pampers.

Ini bermaksud, anda masih perlu membantu mereka dalam semua proses penggunaan tandas. Sebagai contoh, mereka masih memerlukan bantuan anda untuk membawa mereka ke tandas, duduk di atas mangkuk tandas, membersihkan bahagian bawah setelah selesai, dan sebagainya.

Semua ini ialah kemahiran yang perlu dikuasai oleh seorang kanak-kanak agar boleh berdikari untuk menggunakan tandas dengan sendiri. Kemahiran ini dikenali sebagai ‘toileting skill’ atau kemahiran penggunaan tandas.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk anak anda berdikari dalam aspek penggunaan tandas, anda boleh baca artikel saya di sini.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights