Carta ganjaran adalah alat visual yang anda boleh digunakan bagi memperkukuhkan tingkah laku positif anak semasa latihan ke tandas.
Ia biasanya terdiri daripada carta atau grid yang mewakili tugasan atau matlamat yang perlu dicapai oleh anak semasa latihan buang ke tandas.
Setiap kali anak berjaya melaksanakan sesuatu tugasan, contohnya berjaya menggunakan tandas untuk membuang air, maka mereka akan menerima stiker untuk ditampal pada carta tersebut.
Apabila anak berjaya mengumpulkan stiker (mengikut jumlah yang telah ditetapkan), mereka akan menerima ganjaran yang lebih besar, seperti mainan atau makanan istimewa.
Cara ini akan membuatkan anak lebih bermotivasi untuk belajar dan mengadaptasi tabiat dan rutin yang baru semasa proses latihan ke tandas.
Ini kerana, dengan menggunakan carta ganjaran, anak boleh melihat secara visual akan kemajuan dan kejayaan mereka telah capai.
Carta ganjaran juga dapat mendorong anak untuk lebih berusaha di samping membina keyakinan diri mereka sepanjang proses latihan ke tandas.
Berikut adalah panduan tentang cara menggunakan carta ganjaran untuk melatih anak anda ke tandas:
Langkah 1: Sediakan carta ganjaran
Pertama, anda perlu membuat carta atau grid dan menyenaraikan tugasan atau matlamat yang perlu dicapai oleh anak semasa latihan buang ke tandas. Contohnya: duduk di atas mangkuk tandas, menggunakan tandas, mencuci tangan, atau kekal kering sepanjang hari.
Anda boleh memilih sama ada untuk menggunakan templat carta ganjaran yang telah siap atau pun membuat carta ganjaran anda sendiri dengan menggunakan warna, stiker, atau gambar kegemaran anak anda.
Pastikan carta ganjaran tersebut boleh dilihat oleh anak anda.
Jika anda memilih untuk membuat carta ganjaran sendiri, anda boleh klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai cara membuat carta ganjaran untuk latihan ke tandas.
Untuk cara lebih mudah, anda boleh menggunakan templat carta ganjaran untuk latihan ke tandas yang telah siap. Klik di sini untuk memuat turun carta ganjaran untuk latihan ke tandas secara PERCUMA.
Sekiranya berminat, anda juga boleh membeli carta ganjaran latihan ke tandas jenis premium di sini.
Langkah 2: Pilih sistem ganjaran yang sesuai
Seterusnya, anda perlu memilih sistem ganjaran yang sesuai dengan umur dan minat anak anda.
Anda boleh menggunakan ganjaran kecil berbentuk stiker atau token kepada anak anda untuk setiap tugasan yang mereka telah berjaya laksanakan.
Ganjaran yang lebih besar seperti mainan, buku, atau makanan kegemaran hanya diberikan setelah anak berjaya mengumpul stiker berdasarkan jumlah yang telah ditetapkan dalam sesuatu tempoh.
Adalah digalakkan untuk anda berbincang dengan anak anda semasa memilih jenis ganjaran yang sesuai untuk memastikan anda memilih ganjaran yang boleh memotivasikan mereka.
Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai idea ganjaran yang terbaik untuk sistem carta latihan ke tandas.
Langkah 3: Tetapkan peraturan
Terangkan kepada anak anda tentang carta ganjaran tersebut dan bagaimana ia berfungsi.
Jelaskan kepada anak apa yang mereka perlu lakukan untuk mendapat ganjaran dan berapa kerap ganjaran itu diberikan.
Sebagai contoh, anak hanya akan mendapat ganjaran apabila mereka berjaya mengumpul sticker untuk setiap tugasan selama tujuh hari berturut-turut.
Beri penerangan yang jelas dan ringkas agar anak faham tentang peraturan dan bagaimana carta ganjaran tersebut berfungsi.
Beritahu anak tentang aspek positif semasa latihan ke tandas dan bagaimana carta ganjaran tersebut dapat membantu untuk mencapai matlamat mereka.
Langkah 4: Pantau kemajuan anak
Setiap kali anak berjaya melaksanakan tugasan, anda perlu memantau kemajuan mereka dengan melekatkan sticker pada carta ganjaran.
Adalah disyorkan untuk anda mengalakkan penglibatan anak dalam memantau carta ganjaran.
Sebagai contoh, ingatkan anak untuk memeriksa carta dan menambah sticker pada carta ganjaran setelah berjaya melaksanakan sesuatu tugasan.
Gunakan carta secara konsisten dan positif, dan beri pujian dan dorongan kepada mereka sepanjang proses latihan ke tandas.
Pastikan anda memberi pujian walau sekecil manapun kejayaan anak anda dan elakkan dari menghukum mereka atas kesilapan di sepanjang proses latihan ke tandas.
Langkah 5: Berikan ganjaran
Pastikan anda memberikan ganjaran pada setiap tempoh yang telah anda tetapkan (contohnya setiap hujung minggu) setelah anak berjaya mencapai kriteria untuk mendapatkan ganjaran.
Pemberian ganjaran adalah berdasarkan kriteria yang telah anda tetapkan.
Anda boleh memberikan ganjaran dalam bentuk mainan, buku, makanan atau aktiviti yang disukai oleh anak anda.
Menambahbaik carta ganjaran
Anda boleh menambahbaik carta ganjaran mengikut keperluan berdasarkan progress dan prestasi anak anda dalam proses latihan ke tandas.
Sekiranya anak anda menghadapi kesukaran dalam tugasan yang tertentu, anda boleh memecahkan tugasan tersebut menjadi tugasan yang lebih kecil.
Anda juga boleh memberikan sokongan atau dorongan tambahan kepada anak anda jika tugasan terlalu sukar untuk mereka lakukan sendiri.
Jika prestasi anak anda semakin bertambah baik, anda boleh meningkatkan tahap kesukaran tugasan atau menambah lebih banyak tugasan bagi memberikan cabaran yang lebih besar kepada anak anda.
Kesimpulan
Carta ganjaran boleh menjadi satu alat yang berkesan untuk mendorong dan memperkukuhkan kelakuan yang positif semasa proses latihan ke tandas.
Walaubagaimanapun, setelah anak anda semakin mahir dalam latihan ke tandas, lambat laun anda perlu hentikan penggunaan carta ganjaran secara beransur-ansur.
Ini adalah penting agar anak tidak terikat dengan pemberian ganjaran untuk mengekalkan tingkah laku yang baik.
Sebaliknya, anda boleh beralih kepada teknik ‘positive reinforcement’ yang lain seperti memberi memberi pujian atau ‘hi-5’ apabila anak berjaya melaksanakan tugasan.
Anda juga boleh mengekalkan tingkah laku anak yang positif dengan menerangkan kepada mereka akan akibat negatif yang akan menyusul kesan daripada tindakan yang tidak baik.
Contohnya, beritahu anak yang mereka akan merasa tidak selesa jika seluar menjadi basah dan busuk akibat membuang air di dalam seluar.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk menghentikan penggunaan carta ganjaran dalam latihan ke tandas, anda boleh klik di sini.
Ingat untuk sentiasa konsisten dan tekankan aspek positif di sepanjang proses melatih anak ke tandas.
Elakkan menghukum mereka atas kesilapan semasa latihan dan sebaliknya, doronglah mereka untuk lebih berusaha sehingga mereka boleh berjaya.
Saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!