Carta ganjaran latihan ke tandas adalah alat visual yang digunakan untuk mengalakkan dan memperkukuhkan tingkah laku positif anak semasa latihan ke tandas.
Cara ini akan membuatkan anak lebih bermotivasi untuk belajar dan mengadaptasi tabiat dan rutin yang baru semasa proses latihan ke tandas.
Ini kerana, dengan menggunakan carta ganjaran, anak boleh melihat secara visual akan kemajuan dan kejayaan mereka telah capai.
Setiap kali anak berjaya melaksanakan sesuatu tugasan, mereka akan menerima stiker untuk ditampal pada carta tersebut.
Sebagai contoh, anak akan menerima stiker atau stamp jika berjaya kekal kering (tidak kencing dalam seluar) sepanjang hari.
Dan jika anak berjaya kekal kering sepanjang hari untuk 5 hari berturut-turut, maka mereka akan menerima ganjaran.
Dalam sistem carta ganjaran, anak hanya akan menerima ganjaran apabila berjaya mengumpul jumlah stiker yang telah ditetapkan.
Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara menggunakan carta ganjaran untuk melatih anak ke tandas.
Memilih ganjaran yang sesuai adalah sangat penting semasa menyediakan sistem carta ganjaran latihan ke tandas untuk anak anda.
Pemilihan ganjaran yang tepat dan sesuai boleh menentukan kejayaan sesuatu sistem carta ganjaran secara keseluruhannya.
Pemilihan ganjaran harus dibuat berdasarkan umur, dan yang paling penting sekali, minat anak anda.
Memilih ganjaran yang tidak disukai oleh anak anda tidak akan dapat memberi motivasi kepada mereka untuk membuat tugasan diberi (apatah lagi untuk menyiapkannya).
Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda berkolaborasi dengan anak anda dalam memilih ganjaran mereka.Dengan cara ini, anak anda akan lebih bermotivasi untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diberi.
Perkataan “Kolaborasi” bermaksud anda dan anak anda bersama-sama memilih ganjaran dan bukanlah hanya meminta anak anda memberitahu apa sahaja yang mereka mahu. Jika tidak, anda akan terpaksa membeli basikal baru setiap hujung minggu.
Berkolaborasi dengan anak anda dalam memilih ganjaran yang mereka suka dan pada masa yang sama berada dalam lingkungan bajet kewangan anda (dan juga masuk akal!).
Secara ringkasnya, pemilihan ganjaran harus dibuat berdasarkan umur, minat anak anda dan bajet kewangan anda.
Seterusnya kita beralih pula kepada bahagian yang dinanti-nantikan iaitu: idea ganjaran terbaik untuk carta latihan ke tandas.
Berdasarkan 3 faktor yang disebut tadi, anda sepatutnya sudah boleh memilih hadiah yang sesuai untuk anak anda.
Berikut merupakan beberapa idea yang anda boleh pilih dan masukkan dalam sistem carta ganjaran latihan ke tandas untuk anak anda:
1. Makanan atau minuman kegemaran
Sebagai ibubapa, anda mungkin sudah tahu akan makanan atau minuman kegemaran anak anda.
Kebaikannya ialah, anda boleh menggunakan makanan atau minuman kegemaran anak anda sebagai ganjaran.
Misal katanya anak anda suka minum coklat milkshake, maka anda bolehlah menggunakan minuman tersebut sebagai ganjaran.
Sebagai contoh, jika anak anda berjaya kekal kering sepanjang hari untuk 5 hari berturut-turut, maka mereka akan mendapat minuman coklat milkshake pada hujung minggu.
Situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak.
2. Aktiviti khas
Aktiviti khas juga adalah cara terbaik lain yang anda boleh gunakan sebagai ganjaran untuk kejayaan anak anda.
Aktiviti khas ini boleh jadi dalam bentuk aktiviti dalam rumah atau pun aktiviti di luar rumah.
Aktiviti ini boleh terdiri daripada bermacam-macam aktiviti seperti aktiviti kraf dalam rumah atau aktiviti bermain di taman.
3. Buku
Jika anak anda suka akan buku, maka ini adalah ganjaran terbaik untuk mereka.
Membaca buku boleh membantu anak anda untuk belajar perkataan-perkatan baru dan mencetuskan imaginasi mereka.
Bayangkan anda boleh membina kemahiran sastera dan kemahiran penggunaan tandas anak anda secara serentak!
Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air.
4. Barang Mainan
Seperti yang kita semua tahu, kebanyakan kanak-kanak sangat sukakan barang-barang mainan.
Walaubagaimanapun, pemilihan barang mainan sebagai ganjaran boleh menjadi sesuatu yang rumit.
Sebagai ibubapa, jika anda bercadang untuk memberikan barang mainan sebagai ganjaran kepada anak anda, sekurang-kurangnya anda harus memilih barang mainan yang boleh memberi faedah kepada perkembangan anak anda.
Mainan seni bina, mainan kreatif dan mainan role-play adalah antara beberapa contoh barang mainan yang boleh merangsang perkembangan otak kanak-kanak.
Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai barang-barang mainan yang memberi kesan yang terbaik kepada perkembangan kanak-kanak.
Bilakah masanya anda harus memutuskan ganjaran yang sesuai?
Pemilihan ganjaran yang sesuai harus diputuskan pada minggu sebelumnya atau sekurang-kurangnya sehari sebelum carta ganjaran bermula.
Jika carta ganjaran bermula pada hari isnin, maka ganjaran harus diputuskan satu hari sebelumnya.
Ini adalah penting untuk mewujudakn matlamat yang jelas untuk anak anda sasarkan pada minggu tersebut.
Bolehkah anda menjadikan proses pemilihan ganjaran lebih menyeronokkan untuk anak anda? Dan bagaimana?
Ya, anda boleh menjadikan proses pemilihan ganjaran lebih menyeronokkan untuk anak anda.
Daripada hanya memilih ganjaran untuk anak anda begitu sahaja, anda boleh mengisi balang dengan jalur kertas yang telah dilabel dengan ganjaran-ganjaran yang disukai oleh anak anda (ianya boleh berupa makanan, minuman, aktiviti khas, buku atau mainan).
Kemudian, biarkan anak anda untuk memilih sendiri ganjaran yang akan mereka perolehi dengan memilih secara rawak mana-mana jalur kertas yang ada di dalam balang.
Ini akan menjadikan proses pemilihan ganjaran lebih menyeronokkan dan menarik untuk anak anda (dan mungkin untuk anda juga).
Saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!