Latihan Ke Tandas: Beralih daripada diapers kepada seluar biasa


Sebagai ibubapa, anda semestinya mahukan anak anda untuk boleh memakai seluar biasa tanpa diapers.

Walaubagaimanapun, peralihan daripada diapers kepada seluar biasa boleh menjadi satu perkara yang kurang jelas di kalangan ibubapa.

Antara soalan yang sering ditanya adalah, bilakah masanya untuk menukar daripada diapers kepada seluar biasa semasa latihan ke tandas?

Satu perkara yang pasti: peralihan daripada diapers kepada seluar biasa adalah mengambil masa.

Sesetengah kanak-kanak mungkin mengambil masa yang lebih singkat untuk berjaya. Manakala sesetengah lagi mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk berjaya dalam proses peralihan ini.

Secara idealnya, peralihan daripada diapers kepada seluar biasa melibatkan 3 fasa.

Fasa-fasa ini adalah penting untuk memastikan proses peralihan anak anda daripada memakai diapers kepada seluar biasa berjalan dengan lancar dan berkesan.

Perlu diingatkan, fasa-fasa ini tidak mempunyai tempoh masa yang tetap; ianya bergantung kepada tahap kemajuan anak anda dalam latihan ke tandas.

Setiap kanak-kanak adalah unik, oleh itu mereka akan berjaya mengikut tahap masing-masing. 

Memantau kemajuan prestasi anak anda dalam latihan ke tandas boleh membantu anda membuat keputusan bila masanya untuk beralih di antara fasa. 

3 fasa ini melibatkan peralihan di antara 4 jenis pakaian: diapers, pull-ups, seluar latihan dan seluar biasa.

Ciri-ciri setiap jenis pakaian

Sebelum mengetahui dengan lebih lanjut mengenai 3 fasa tersebut, kita perlu faham logik di sebalik peralihan di antara 4 jenis pakaian ini. 

Mengapa anda perlu menukar di antara jenis pakaian?

Jawapannya ialah, kerana setiap jenis pakaian mempunyai ciri yang berbeza yang boleh disesuaikan dengan situasi anak anda; bergantung kepada prestasi mereka dalam latihan ke tandas.

Fasa ‘peralihan’ ini sangat banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri dari setiap jenis pakaian.

Diapers

  • Sangat menyerap, direka khas untuk menyimpan cecair bagi mengekalkan keselesaan kanak-kanak
  • Kalis air
  • Menggunakan velcro di bahagian tepi pinggang untuk sokongan
  • Jenis pakai buang

Pull-Ups

  • Sangat menyerap
  • Kalis air
  •  Menggunakan getah elastik pada pinggang untuk sokongan
  • Jenis pakai buang

Seluar Latihan

  • Kurang menyerap berbanding Pull-Ups
  • Kurang kalis air berbanding Pull-Ups
  •  Menggunakan getah elastik pada pinggang untuk sokongan
  • Boleh dibasuh/dipakai semula

Seluar Biasa

  • Tidak menyerap air
  • Tidak kalis air
  •  Menggunakan getah elastik pada pinggang untuk sokongan
  • Boleh dibasuh/dipakai semula

3 Fasa Peralihan


Fasa I:

Diapers kepada Pull-ups

Menukar kepada pakaian jenis pull-ups adalah baik semasa anak anda berada pada peringkat awal latihan ke tandas.

Ini adalah peringkat di mana anda sedang dalam proses mengajar anak anda tentang fungsi tandas dan membina keinginan mereka untuk pergi ke tandas.

Dalam peringkat ini, anda perlu membawa anak ke tandas secara berkala supaya mereka dapat membiasakan diri untuk pergi dan menggunakan tandas.

Disebabkan pull-ups mempunyai jenis pinggang yang elastik, pakaian ini juga adalah sangat bagus digunakan untuk melatih anak anda untuk menarik seluar ke atas dan ke bawah semasa latihan ke tandas.

Dengan ciri menyerap air dan kalis air yang bagus,  pull-ups boleh membantu untuk mengelakkan keadaan kucar-kacir disebabkan oleh kebocoran air kencing yang biasanya berlaku pada peringkat awal latihan ke tandas.

Adalah baik untuk menggunakan pull-ups sehingga anak boleh menguasai 2 kemahiran penggunaan tandas yang penting:
(1) kemahiran untuk tahu bila perlunya untuk ke tandas  dan (2) kemahiran untuk menurunkan dan menarik seluar ke atas.

Walaubagaimanapun, adalah lebih baik untuk menukar daripada pull-ups kepada seluar latihan secepat yang mungkin.

Anda tidak mahu anak anda memakai pull-ups terlalu lama kerana ia akan melambatkan keseluruhan proses latihan tandas (disebabkan oleh ciri penyerapan air dan kalis air yang bagus, anak anda tidak akan terdorong untuk pergi ke tandas kerana mereka merasa selesa).


Fasa 2:

Pull-ups kepada Seluar Latihan

Peralihan daripada pull-ups kepada seluar latihan biasanya dilakukan di sekitar peringkat pertengahan latihan ke tandas.

Pada peringkat ini, anak anda sudah tahu bila masanya perlu untuk ke tandas dan boleh menarik seluar ke atas dan ke bawah dengan sendiri.

Disebabkan seluar latihan mempunyai ciri kurang menyerap berbanding pull-ups, ianya akan menyebabkan rasa yang kurang selesa apabila basah.

Ini akan menggalakkan anak untuk pergi dan menggunakan tandas bagi mengelakkan seluar mereka basah.

Ini bermaksud kecenderungan untuk anak anda kencing di dalam seluar akan menjadi semakin kurang berbanding semasa memakai pull-ups.

Disebabkan oleh ciri kalis air pada permukaan luarnya, seluar latihan boleh mengelakkan kebocoran sekiranya anak terkencing sedikit di dalam seluar.

Pakaian ini boleh memudahkan anda terutamanya bila anda dan anak pergi ke tempat awam.

Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang seluar latihan terbaik yang  menyerap air , kalis air dan boleh dibasuh.


Fasa 3:

Seluar Latihan kepada Seluar Biasa

Anda sudah boleh menukar daripada seluar latihan kepada seluar biasa jika anak sudah tidak kencing atau sangat jarang kencing dalam seluar.

Pada peringkat ini, anak anda berada pada peringkat akhir latihan ke tandas.

Perkara yang paling penting pada peringkat ini ialah untuk memastikan anak anda boleh mengekalkan rutin penggunaan tandas yang betul.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, cara untuk memutuskan jenis pakaian apa yang sesuai dipakai oleh anak semasa latihan ke tandas adalah bergantung kepada:

  • Prestasi kemajuan mereka dalam latihan ke tandas
  • Kesesuaian masa/situasi (rumah vs tempat awam)
Fasa-fasa peralihan ini bukanlah sesuatu yang tetap dan sesetengah ibubapa mungkin boleh melangkau 1 atau 2 fasa sekaligus.

3 fasa ini dianggap ideal untuk memastikan anak anda boleh beralih daripada diapers kepada seluar biasa dengan berkesan semasa latihan tandas.

Perlu diingatkan, proses latihan ke tandas memerlukan usaha yang konsisten dan adalah sangat penting untuk terus maju ke hadapan.
 
Jika regresi berlaku, bermakna anda terpaksa melatih semula anak anda untuk ke tandas.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights