Panduan: Ajar anak menguruskan seluar sendiri semasa latihan ke tandas


Latihan ke tandas (toilet training) adalah proses mengajar anak anda untuk menggunakan tandas dan berhenti daripada memakai diapers.

Latihan ini melibatkan kemahiran-kemahiran penggunaan tandas yang penting seperti kebolehan untuk menguruskan seluar, duduk di atas mangkuk tandas dan sebagainya.

Dalam konteks latihan ke tandas, kebolehan untuk menguruskan seluar sendiri bermaksud anak boleh menurunkan dan menaikkan seluar sendiri tanpa bantuan.

Sama seperti kemahiran-kemahiran yang lain, kemahiran ini sangat penting untuk dipelajari oleh anak anda supaya mereka boleh berdikari dalam menggunakan tandas.

Walaubagaimanapun, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami kesukaran untuk mempelajari kemahiran ini.

Berikut adalah 3 langkah mudah yang anda boleh buat untuk mengajar anak anda cara menguruskan seluar sendiri semasa latihan ke tandas:

Langkah 1: Buat demonstrasi bersama anak anda

Untuk mengajar anak anda cara untuk menguruskan seluar sendiri, anda harus terlebih dahulu membuat demonstrasi bersama anak anda.

Ini adalah cara yang terbaik untuk membuatkan anak anda faham apa yang anda cuba sampaikan.

Tunjukkan kepada anak anda bagaimana untuk menarik seluar turun dan seterusnya naik semula secara perlahan-lahan.

Anda boleh memakai seluar ekstra untuk tujuan demonstrasi ini.

Atau, jika anda mempunyai anak patung dengan pakaian yang boleh ditanggalkan, anda boleh juga menggunakan anak patung tersebut sebagai demonstrasi.

Galakkan anak untuk cuba untuk ikut bersama-sama semasa anda membuat demonstrasi agar mereka  dapat belajar dengan lebih baik.

Langkah 2: Bimbing anak secara fizikal

Seterusnya, jika anak anda masih mengalami kesukaran untuk menguruskan seluar sendiri anda boleh menggunakan bimbingan fizikal untuk mengajar mereka.

Ajar anak anda cara untuk menarik seluar turun dan naik semula dengan memegang tangan mereka sambil membimbing mereka.

Dengan cara ini, anda boleh membantu anak anda untuk memahami dedngan lebih baik akan cara menguruskan seluar sendiri.

Langkah 3: Beri peluang anak untuk melakukan sendiri

Selepas memberi bimbingan fizikal, anda perlu memberikan anak anda peluang untuk melakukan dengan sendiri.

Ini boleh dilakukan dengan membimbing anak anda untuk beberapa langkah pertama dan kemudian memberi mereka peluang untuk melakukan langkah yang terakhir.

Secara beransur-ansur, cuba kurangkan bimbingan dan beri anak peluang untuk melakukan lebih banyak langkah lagi.

Beri peluang untuk anak berlatih secara konsisten setiap hari sehingga mereka mampu menguruskan seluar sendiri tanpa bantuan dari anda.

Sejauh manakah anak perlu menurunkan seluar semasa duduk di atas mangkuk tandas?

Sebenarnya, tiada jawapan yang spesifik mengenai sejauh mana anak perlu menurunkan seluar semasa duduk di tempat tandas.

Walau bagaimanapun, petua yang baik adalah untuk ajar anak anda menurunkan seluar mereka di bawah lutut tetapi jangan terlalu dekat dengan lantai atau mangkuk tandas.

Apakah pakaian yang sesuai untuk anak semasa latihan ke tandas?

Semasa latihan ke tandas, anak digalakkan untuk memakai pakaian dengan pinggang yang elastik.

Pastikan pakaian yang dipakai oleh anak sepanjang proses latihan ke tandas adalah tidak ketat dan senang untuk diturunkan/dinaikkan.

Ini adalah penting agar proses melatih anak lebih mudah dan lancar.

Cuba kurangkan cabaran untuk anak anda sebanyak yang mungkin terutamanya di awal proses latihan ke tandas.

Ini kerana jika proses terlalu sukar untuk anak anda, mereka mungkin akan menolak dan tidak mahu melakukannya.

Anda tidak perlu risau jika berlaku situasi di mana anak terkencing dalam seluar semasa proses latihan ke tandas – semua itu adalah sebahagian dari proses pembelajaran.

Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara untuk beralih daripada diapers kepada seluar biasa semasa latihan ke tandas.

Bolehkah anak memakai diapers semasa latihan ke tandas?

Tidak. Jika boleh elakkan dari memakaikan anak diapers di sepanjang latihan ke tandas.

Sebaliknya, anda digalakkan untuk memakaikan anak seluar atau seluar dalam sepanjang proses latihan ke tandas.

Ini kerana, seluar yang basah akan menjadikan anak anda tidak selesa. 

Disebabkan itu, anak akan cuba untuk mengelakkan perkara itu daripada terjadi.

Ini akan mengajar anak untuk menahan diri dari terkencing sehinggalah mereka sampai ke tandas.

Pastikan anda membawa anak anda ke tandas secara berkala supaya mereka memahami konsep pergi ke tandas untuk membuang air kecil dan air besar.

Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara untuk mengajar anak ke tandas dan berhenti dari memakai diapers.

Kesimpulan

Sesetengah kanak-kanak mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk belajar kemahiran-kemahiran penggunaan tandas.

Elakkan dari menghukum atau memarahi anak di atas kesilapan yang terjadi di sepanjang latihan ke tandas.

Sebaliknya, berilah sokongan dan dorongan motivasi kepada mereka.

Sentiasa bersabar dan jangan lupa puji anak anda untuk setiap kejayaan yang mereka capai, walaupun sekecil mana kejayaan itu.

Ini akan mendorong mereka untuk terus mencuba dan belajar dari kesilapan.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan untuk anak anda berdikari dalam aspek penggunaan tandas, anda boleh baca artikel saya di sini.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights