Panduan: Memilih Mainan Sesuai Mengikut Peringkat Umur Anak


Bermain adalah cara semulajadi untuk kanak-kanak belajar tentang diri mereka dan dunia di sekeliling mereka.

Ianya adalah sangat penting bagi kanak-kanak kerana dapat membantu dalam keseluruhan perkembangan mereka.

Bermain dianggap sebagai keperluan asas bagi setiap kanak-kanak.

Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengikitiraf hak setiap kanak-kanak untuk bermain.

Menurut Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk berehat, beriadah, bermain, dan mengambil bahagian secara bebas dalam aktiviti kebudayaan, kesenian dan rekreasi yang sesuai dengan umur kanak-kanak itu.

Sebagai ibubapa atau penjaga, anda harus faham bahawa apabila anak semakin membesar, jenis aktiviti bermain mereka akan berubah.

Begitu juga dengan jenis mainan yang mereka gunakan semasa bermain. Ianya juga akan berubah mengikut umur perkembangan mereka.

Oleh sebab itu, memilih mainan yang sesuai mengikut peringkat umur anak adalah sangat penting untuk mengoptimumkan perkembangan mereka.

Berikut ialah panduan mudah untuk membantu anda memilih mainan yang sesuai mengikut umur anak anda:

(15 - 18 bulan)

Kanak-kanak dalam lingkungan umur ini suka meneroka persekitaran mereka.

Mereka mula mempelajari kesan tindakan mereka terhadap objek dan orang di persekitaran mereka.

Kanak-kanak juga mula menunjukkan minat atau rasa ingin tahu terhadap bagaimana sesuatu benda berfungsi.

Mereka juga sudah mula untuk meniru tindakan orang lain di persekitaran mereka, contohnya memegang telefon.

Dalam lingkungan umur ini, kanak-kanak kebanyakannya bermain secara bersendirian (solitary play).

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur ini: 

  1. Mainan sensori : alat muzik mainan, mainan dengan bunyi dan lampu berwarna-warni
  2. Mainan kognitif mudah: Memadankan puzzle ( 3 ~ 6 keping puzzle)
  3. Mainan pembinaan mudah : Menyusun kiub ( kiub saiz 2.5cm ~ 3cm )
  4. Mainan kreatif : Menconteng menggunakan warna lilin atau marker yang tidak bertoksik dan selamat

(2 tahun)

Kanak-kanak pada usia ini lebih fokus kepada menggabungkan objek dan mempelajari maknanya.

Mereka mula membahagikan atau menyusun objek mengikut kumpulan dan bertindak dengan tujuan.

Mereka juga mula meniru gaya dan perlakuan yang lebih kompleks dari orang lain di persekitaran mereka, contohnya memasak dan menyapu lantai.

Kanak-kanak pada usia ini kebanyakannya boleh bermain  bersebelahan dengan kanak-kanak lain tanpa berinteraksi (paralell play).

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak pada usia ini:

  1. Mainan sensori : Alat muzik mainan
  2. Mainan kognitif mudah : Puzzle anggota badan (kepingan puzzle saiz besar)
  3. Mainan pembinaan : Membina bangunan lego (blok lego saiz besar),  menjalin manik warna-warni (manik saiz besar)
  4. Mainan kreatif : Bermain cat tangan menggunakan bahan tidak bertoksik dan selamat , bermain play dough
  5. Mainan role-play mudah : Bermain anak patung

(3 - 4 tahun)

Kanak-kanak sekitar umur ini mula mempelajari konsep asas seperti warna, nombor, bentuk dan corak melalui aktiviti bermain.

Mereka juga sudah boleh menggunakan persekitaran mereka dengan cara yang kreatif semasa bermain.

Dalam lingkungan umur ini, kebanyakan kanak-kanak sudah boleh berinteraksi dan bermain bersama-sama dengan kanak-kanak lain (assosiative group play).

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur ini:

  1. Mainan kognitif : Puzzle abjad, puzzle nombor, puzzle bentuk
  2.  Mainan pembinaan : Membina bangunan jubin magnetik
  3. Mainan kreatif : Membuat kolaj, mewarna, melukis
  4. Mainan role-play : Bermain patung boneka, rumah mainan, kit doktor mainan
  5. Mainan di taman permainan : buaian , terowong 
  6. Mainan fizikal : Basikal 3 tayar (Tricycle)

(5 tahun)

Kanak-kanak pada usia ini biasanya kelihatan lebih dominan dalam permainan role play, seperti berpura-pura menjadi watak yang mereka lihat di televisyen.

Sikap mengarah juga mula muncul sekitar umur ini apabila mereka mula mengatur dan memimpin orang lain semasa aktiviti bermain.

Kanak-kanak pada usia ini juga sudah mula bermain secara koperatif bersama kanak-kanak lain untuk mencapai matlamat bersama (cooperative group play).

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak pada usia ini:

  1. Mainan pembinaan : Set pembinaan
  2. Mainan kreatif : Melukis, mewarna
  3. Mainan role-play : Kostum watak seperti watak kartun atau superhero
  4. Mainan bertema : Kereta mainan, patung figura watak (superhero, disney princess)
  5. Permainan dengan peraturan : Permainan Simon’s says

(6 tahun)

Kanak-kanak pada usia ini sudah boleh mengambil bahagian dalam permainan role-play yang lebih kompleks dan melibatkan penggunaan prop dengan kualiti persembahan pentas, seperti dalam lakonan sekolah. 

Mereka juga mempunyai pemahaman yang baik tentang peraturan permainan dan boleh mematuhi peraturan semasa aktiviti bermain.

Kanak-kanak pada usia ini sudah mencapai tahap bermain secara koperatif yang sangat baik bersama dengan kanak-kanak lain.

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak pada usia ini:

  1. Mainan pembinaan : Set pembinaan
  2. Mainan kreatif : Lukisan bertema
  3. Mainan role-play kompleks : Berlakon dengan kostum & props seperti dalam lakonan sekolah
  4. Permainan dengan peraturan : Permainan board yang mudah (Ular tangga) 
  5. Buku cerita berillustrasi (bergambar)

(7 - 12 tahun)

Kanak-kanak dalam lingkungan umur ini adalah lebih berdaya saing (kompetitif) dan fokus kepada aktiviti bermain yang lebih berunsurkan game berbanding sebelum ini.

Mereka juga lebih meminati sukan dan aktiviti yang berkaitan hobi.

Contoh mainan sesuai untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur ini:

  1. Mainan kognitif : Puzzle yang lebih kompleks, Rubik’s Cube
  2. Mainan pembinaan :  Membina kit model kereta
  3. Mainan kreatif : Membuat origami, aktiviti melukis dan mewarna yang lebih kompleks
  4. Permainan dengan peraturan : Permainan kad UNO , Permainan board yang lebih kompleks (chess)
  5. Buku cerita
  6. Permainan berunsurkan sukan atau hobi : Aktiviti berbasikal , memancing

Bermain dianggap sebagai keperluan asas bagi setiap kanak-kanak kerana ianya sangat penting untuk perkembangan mereka. Klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai 5 sebab kenapa bermain sangat penting bagi kanak-kanak

Walaupun semua barang mainan memberi manfaat terhadap perkembangan kanak-kanak, terdapat sesetengah mainan yang memberi lebih banyak manfaat dan kesan berbanding yang lain. Terutamanya apabila diperkenalkan pada usia yang lebih awal.

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai mainan terbaik yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak di sini.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights