Rawatan ADHD Terbaik yang Wajib Ibubapa Tahu!


Sekitar 5-10% kanak-kanak di seluruh dunia dianggarkan menghidap ADHD namun ianya sering tidak didiagnosis disebabkan oleh stigma atau pandangan masyarakat yang berbeza terhadap pendidikan dan keibubapaan. Perkara ini boleh menyebabkan kurangnya kesedaran dan penerimaan terhadap kondisi ADHD.

Sebab itulah, pentingnya kempen kesedaran yang berterusan bagi membantu meningkatkan diagnosis dan akses kepada rawatan. Inisiatif penyelidikan antarabangsa juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pemahaman kita tentang penyebab ADHD dan cara merawatnya dengan berkesan, agar dapat membantu kanak-kanak yang terjejas dengan kondisi ADHD untuk mencapai hasil rawatan yang terbaik.

Sebelum meneruskan dengan lebih lanjut kepada rawatan terbaik untuk ADHD, adalah penting untuk  memahami apa itu ADHD, apa tanda dan gejalanya, serta apa faktor penyebab kepada kondisi ini.

Apa itu ADHD?

ADHD adalah singkatan bagi Attention Deficit Hyperactivity Disorder dan merupakan salah satu diagnosis di bawah kategori gangguan perkembangan kanak-kanak.

Walaupun ADHD ini biasanya dilihat pada kanak-kanak, namun ianya juga boleh memberi kesan kepada remaja dan orang dewasa. 

Ini kerana ADHD adalah satu kondisi yang bersifat jangka panjang,  kanak-kanak yang mengalami ADHD akan membesar dengan kondisi ini dan membawanya sehingga dewasa.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ADHD berisiko lebih tinggi untuk mengalami isu-isu lain seperti  masalah keresahan, kemurungan, dan masalah untuk bergaul dengan orang lain.

Kerana itulah, rawatan awal adalah sangat penting agar kualiti kehidupan individu yang mengalami ADHD dapat dipertingkatkan.

3 Petanda Utama ADHD

Petanda utama ADHD pada kanak-kanak adalah kesukaran dalam memberikan tumpuan, bertindak secara impulsif, dan berkelakuan terlalu aktif (hiperaktif).

1. Masalah Tumpuan
Kanak-kanak yang mengalami ADHD menghadapi kesukaran untuk fokus pada satu perkara pada satu masa. Mereka cenderung untuk beralih dari satu aktiviti ke aktiviti lain tanpa menamatkan apa yang mereka telah mulakan. 

Ini boleh menjadikan tugas harian seperti belajar, bermain, atau berinteraksi dengan orang lain menjadi agak sukar.

2. Tingkah Laku Impulsif
Selain daripada masalah tumpuan, kanak-kanak yang mengalami ADHD juga boleh menjadi sangat impulsif. Ini bermakna mereka mungkin melakukan perkara tanpa memikirkan akibatnya. Contohnya, mereka mungkin tidak sabar semasa menunggu giliran atau sering memotong percakapan orang lain.

Disebabkan oleh kelakuan impulsif ini, sesetengah kanak-kanak yang mengalami ADHD mungkin menghadapi masalah dalam pergaulan sosial dan kadangkala mengatakan perkara yang boleh menyakiti perasaan orang lain. Namun begitu, bukan semua kanak-kanak yang mengalami ADHD berkelakuan seperti ini.

3. Tingkah Laku Hiperaktif 
Kelakuan yang hiperaktif merupakan simptom ADHD yang paling dikenali ramai.  Ciri-ciri kelakuan hiperaktif adalah seperti kesukaran untuk duduk diam dan sentiasa bergerak.

Kanak-kanak yang mengalami ADHD mungkin cenderung untuk berlari, memanjat, dan melompat di tempat-tempat yang tidak sesuai tanpa menghiraukan bahaya.

3 Jenis ADHD

ADHD terbahagi kepada tiga jenis utama, masing-masing dengan set simptom dan tingkah laku yang tertentu.

Memahami jenis-jenis ADHD ini boleh membantu ibubapa untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang berkesan untuk anak mereka.

3 jenis utama ADHD adalah seperti berikut:

1. ADHD Jenis Kombinasi:
Jenis ini adalah yang paling biasa  dilihat di kalangan kanak-kanak yang mengalami ADHD.

Kanak-kanak yang mengalami ADHD jenis kombinasi akan mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan, serta menunjukkan masalah kelakuan hiperaktif dan bertindak impulsif. 

Disebabkan oleh kombinasi 3 simptom ini, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dan masalah pergaulan dengan orang lain.

2. ADHD Jenis Inatentif:
Terdahulu dikenali sebagai ADD (Attention Deficit Disorder), kanak-kanak yang mengalami ADHD jenis ini lebih menunjukkan isu yang ketara dalam memberikan tumpuan dan tidak menunjukkan banyak isu dalam tingkah laku hiperaktif atau impulsif.

Mereka mungkin dilihat sering berkhayal dan tidak  mendengar apa yang diperkatakan kepada mereka. Ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk mengikuti arahan dan seterusnya tidak dapat melaksanakan tugasan yang diberi dengan teratur.

Kanak-kanak yang mengalami ADHD jenis ini berkemungkinan besar untuk terlepas pandang oleh ibubapa dan seterusnya tidak dapat didiagnosis kerana tidak menunjukkan tingkah laku yang mengganggu.

3. ADHD Jenis Hiperaktif-Impulsif:
Jenis ini adalah yang paling jarang dilihat di kalangan kanak-kanak yang mengalami ADHD.

Kanak-kanak yang mengalami ADHD jenis ini lebih menunjukkan isu yang ketara dalam tingkah laku hiperaktif dan impulsif berbanding masalah tumpuan.

Mereka mungkin dilihat tidak dapat duduk diam atau sukar untuk menunggu giliran, dan menghadapi kesukaran dalam persekitaran yang teratur seperti dalam bilik darjah.

Mereka juga biasanya nampak menonjol berbanding kanak-kanak lain kerana menunjukkan tahap tenaga yang jauh lebih tinggi. Walaupun mereka mungkin cemerlang dalam aktiviti fizikal, mereka biasanya akan menghadapi kesukaran dengan aktiviti atau tugas yang memerlukan lebih banyak kesabaran.

7 Faktor Penyebab kepada ADHD

Walaupun penyebab atau punca utama kepada ADHD belum dapat dikenal pasti secara jelas, namun hasil penyelidikan yang meluas menunjukkan bahawa kombinasi pelbagai jenis penyebab boleh meningkatkan risiko terjadinya kondisi ini.

Berikut adalah antara penyebab-penyebab yang boleh meningkatkan risiko terjadinya ADHD:

  1. Genetik:
    Disebabkan ADHD cenderung berlaku dalam keluarga, ini menunjukkan kemungkinan terdapatnya komponen keturunan. Menurut kajian, terdapat beberapa gen tertentu yang boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko ADHD.
  2. Struktur dan Fungsi Otak: Perbezaan dalam struktur dan aktiviti otak, terutamanya di kawasan yang berkaitan dengan perhatian dan kawalan impuls, berkemungkinan juga memainkan peranan dalam peningkatan risiko ADHD.

  3. Ketidakseimbangan Neurotransmitter: Ketidakseimbangan dalam neurotransmitter, seperti dopamin dan norepinefrin, turut dipercayai boleh mempengaruhi simptom ADHD.

  4. Faktor Persekitaran: Pendedahan kepada toksin (seperti plumbum), alkohol, atau tembakau semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko ADHD.

  5. Kelahiran Pramatang: Kanak-kanak yang dilahirkan secara pramatang atau lahir dengan berat yang terlalu rendah juga berkemungkinan mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami ADHD.

  6. Faktor Psikososial: Dinamik keluarga, status sosioekonomi, dan pendedahan kepada stress yang kronik juga berkemungkinan menyumbang kepada perkembangan simptom ADHD.

  7. Pengaruh Pemakanan: Beberapa kajian mencadangkan bahawa apa yang dimakan oleh kanak-kanak—seperti jumlah gula yang mereka ambil atau bahan tambahan makanan tertentu—boleh mempengaruhi tingkah laku mereka dan menjadikan mereka lebih hiperaktif.

Secara keseluruhannya, ADHD dipercayai terjadi daripada kombinasi pelbagai penyebab seperti di atas dan bukanlah disebabkan oleh satu punca yang spesifik. 

Memahami penyebab-penyebab yang berkemungkinan menyumbang kepada terjadinya ADHD boleh membantu ibu bapa, guru, dan ahli penjagaan kesihatan untuk merancang strategi pencegahan dan rawatan yang berkesan kepada kanak-kanak yang mengalami  ADHD.

Apakah Rawatan Terbaik untuk Kanak-Kanak yang Mengalami ADHD?

Rawatan untuk kanak-kanak yang mengalami ADHD adalah unik dan tidak sama untuk semua. Ianya banyak bergantung kepada tahap keparahan simptom dan cabaran lain yang mungkin mereka hadapi.

Rawatan terbaik yang disyorkan adalah rawatan yang menggunakan kombinasi pelbagai strategi dan terapi yang sama-sama bersatu untuk membantu individu mengalami ADHD. Ini dikenali sebagai rawatan yang menggunakan “pendekatan holistik “.

Berikut adalah beberapa jenis strategi dan terapi yang biasa digunakan dalam pendekatan holistik untuk merawat kanak-kanak yang mengalami ADHD:

1. Terapi Carakerja

Terapi Carakerja atau Occupational Therapy (OT) sangat membantu untuk kanak-kanak yang mengalami ADHD. Terapis carakerja boleh membantu mereka untuk memperkembangkan kemahiran harian yang diperlukan untuk aktiviti sekolah, bermain, dan interaksi sosial. 

Terapis carakerja juga boleh membantu mereka untuk seperti menjadi lebih teratur, boleh menguruskan masa, dan meningkatkan kemahiran memproses input deria.

2. Terapi Pemakanan

Pemakanan kanak-kanak boleh memberi kesan yang besar kepada gejala ADHD mereka. Pengurangan dalam pengambilan gula atau menambah lebih banyak asid lemak omega-3 dapat membantu dengan tumpuan dan tingkah laku. 

Terapis pemakanan boleh membantu merangka diet seimbang yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak.

3. Terapi Tingkah Laku

Terapi ini membantu kanak-kanak membangunkan kemahiran daya tindak dan belajar cara mengurus tingkah laku mereka. Ia biasanya menerapkan unsur pengukuhan positif untuk menggalakkan tingkah laku baik dalam diri kanak-kanak. 

Terapis tingkah laku juga boleh memberi latihan untuk ibu bapa bagi menyokong strategi ini di rumah.

4. Sokongan Pendidikan

Kerjasama antara ibubapa, guru dan kakitangan sekolah adalah penting dalam membantu kanak-kanak yang mengalami ADHD untuk berjaya dalam persekolahan. Ini termasuk menyediakan Pelan Pendidikan Individu atau Individualized Education Program (IEP) untuk memastikan kanak-kanak mendapat sokongan yang mereka perlukan di dalam bilik darjah.

5. Farmakoterapi

Ubat perangsang, seperti metilfenidat (contohnya Ritalin) dan amfetamin (contohnya Adderall), sering dipreskripsi untuk membantu menguruskan simptom ADHD. Terdapat juga pilihan ubat-ubatan jenis bukan perangsang yang tersedia, bergantung kepada apa yang paling berkesan untuk setiap kanak-kanak.

6. Terapi Pertuturan

Terapi ini berfokus kepada meningkatkan cara kanak-kanak mengekspresikan diri dan memahami orang lain, untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih baik dalam situasi sosial.

Terapi pertuturan boleh membantu kanak-kanak ADHD yang menghadapi kesukaran dalam komunikasi, dengan cara memperkembangkan kemahiran komunikasi yang lebih jelas.

Kenapa 'pendekatan holistik' adalah pilihan yang terbaik?

Pelan rawatan yang menggunakan pendekatan holistik adalah yang terbaik kerana ia mengambil kira semua aspek kehidupan seorang kanak-kanak. 

Dengan menggunakan pendekatan ini, mereka dapat menerima sokongan yang diperlukan di rumah, sekolah, dan dalam situasi sosial. 

Dengan penggabungan pelbagai jenis terapi dan strategi, perkembangan dan kualiti kehidupan kanak-kanak yang mengalami ADHD dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Akhir sekali, saya harap artikel ini dapat membantu anda dan jika anda suka artikel ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel saya yang lain dari blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat blog ini!

Recent Posts

Verified by MonsterInsights